Bersama Othman Ahamad
Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy
Bolehkah anak berusia 15 bulan membaca? Apa pandangan anda? Mustahil bukan? Tetapi pada usia inilah anak anda perlu dilatih untuk mula mempunyai minat untuk membaca supaya pada usia 3 tahun nanti mereka bersedia untuk membaca.
Pada mulanya anak-anak kecil ini lebih berminat dengan warna buku, pergerakan kertas yang diselak, bunyi bising kertas dan suara lucu anda. Bagaimanapun, sambil anda bercakap dan membaca, mereka akan melihat pergerakan jari telunjuk anda dan mula melihat warna, bentuk dan corak gambar dan teks yang dibacakan.
Sedikit demi sedikit bentuk dan corak tersebut menjadi lebih jelas dan biasa dengan mereka. Seterusnya mereka akan mengaitkan bentuk-bentuk tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu. Biasanya mereka akan membalik-balikkan muka surat yang dibaca, menunjuk-nunjuk benda yang telah biasa dilihat dan kadang kala mendengar apa yang diceritakan dan mengikut bersama bercerita dengan bahasanya sendiri. Melalui bukulah, kanak-kanak dapat membina bahasa, belajar mendengar, memahami dan bercakap dan menggalakkan komunikasi. Buku juga bukan sahaja dapat meluaskan imaginasi dan pengalaman mereka tetapi juga membantu mereka memahami situasi dan cara orang disekelilingnya berinteraksi.
Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca kepada anak-anak kecil.
Pada awalnya, pilihlah buku yang mempunyai ilustrasi binatang seperti kucing, ikan, ayam dan sebagainya, objek yang dekat dengannya seperti baju, kasut, sikat, dan sebagainya yang jelas, besar dan berwarna warni.Bercakaplah mengenai benda-benda di dalam buku tersebut seperti warna, bentuk, bunyi berkaitan dan kegunaannya. Namakan benda atau objek yang dilihat dengan sebutan yang jelas. Buku-buku yang interaktif dalam konteks ada bahagian gambar yang boleh ditarik, ditekan, diselak sangat menarik minat kanak-kanak supaya terlibat secara langsung dalam sesi membaca. Rangsang minat anak anda dengan menggalakkan mereka menarik, menekan, mencungkil dan menyentuh bahagian-bahagian tersebut. Jangan terlalu sayangkan buku sehingga mereka tidak dapat menyentuhnya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan menjadikan mereka lebih berminat dengan buku dan merangsang otak mereka.
Seterusnya dapatkan buku-buku nursery rhymes dengan kisah-kisah lama yang menarik dan penuh dengan hiburan dan pengajaran. Lagu-lagu yang dikaitkan dalam cerita-cerita ini dapat menarik minat mereka kepada buku dan seterusnya kepada cerita-cerita yang berlagu ini.Beberapa cadangan berikut mungkin dapat membantu anda menarik minat mereka kepada buku.
Adakan sesi membaca bersama-sama. Bacakan buku sambil mendakap mereka.
Bercerita dengan penuh emosi dan minat. Bunyikan bunyi binatang yang dilihat dengan bersungguh-sungguh dan 'real'.
Libatkan aksi dan pergerakan , contohnya menggerakkan tangan seperti belalai gajah apabila bercerita.
Tanyakan soalan-soalan seperti berikut:
eh besarnya bola ini. Ani suka bola?
Yang mana satu sudu yang Amir suka?
Apa yang warna biru tu?
Apa jadi selepas ini?
Bercerita dengan bahasa yang mudah. Contohnya: " Ini kucing. Bunyi kucing 'meow' 'meow' 'meow'. Kucing suka makan ikan"
Untuk sesi membaca atau bercerita bersama, lakukan beberapa cadangan berikut:
minta anak anda mencari muka surat pertama atau permulaan cerita.
sambil membaca, tunjukkan teks perkataan yang dibacakan. Ini akan membantu anak itu memahami arah pergerakan apabila membaca dan memahami secara tidak langsung bahawa teks perkataan penting dalam cerita yang dibacakan, bukan hanya gambar-gambar.
minta anak anda membalikkan muka surat untuk anda.
tokok tambahkan cerita yang dibacakan dengan maklumat lain supaya mereka lebih faham.
tanyakan kepada mereka apa yang terjadi selepas ini.
apabila mereka telah biasa dengan cerita yang dibacakan, minta mereka ceritakan kembali cerita tersebut.
Apabila kanak-kanak sudah mula jinak dengan buku-buku cerita atau buku gambar, anak anda mungkin telah bersedia untuk diperkenalkan bunyi-bunyi huruf kepada anak anda. Oleh itu sambil anda membacakan cerita tersebut, terangkan bunyi huruf yang biasa dilihat yang ada pada teks yang dibacakan. Contohnya 'a', anda boleh menyebut:
"Ah, cuba lihat ini. Ini bunyinya 'aaa' (untuk huruf 'a')"
"Yang ini pula 'beh' (untuk huruf 'b')"
Pastikan anda tidak memperkenalkan huruf yang dilihat itu dengan namanya, iaitu 'ei' bagi huruf 'a', atau 'bi' bagi huruf 'b'. Kanak-kanak hanya perlu diperkenalkan dengan bunyi huruf sahaja iaitu 'aa' (untuk 'a') dan 'beh' (untuk 'b') kerana nama-nama huruf tidak ada makna bagi seorang kanak-kanak kecil. Bahkan mengajar nama-nama huruf, bagi seorang penulis buku, Professor Robert K. Logan dalam bukunya, The Alphabet Effect, mengatakan 'teaching a,b,c is the first road block to reading.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan